Aku sudah lupa sudah berapa banyak kali aku berpindah
mengikut Baba dalam tugasannya
Mama akur dan patuh sahaja
namun aku yang paling gembira
punya teman baru..rumah baru..
setiap persinggahan berbeza
namun ada satu kampung terpencil
yang tidak akan terpisah dari hati ini
bersama Pak Haji Shamsudin
ke sawah mengail ikan sepat dan puyu
ke parit mengaut ikan laga dan berudu
ke kebun mengutip cili dan pucuk paku
memanjat pokok pelam dan pokok jambu
memetik buah kopi dan buah koko
membuat minyak kelapa
membuat layang-layang yang tak pernah terbang
meniup buih sabun dari batang daun betik
aku terlalu obses dengan penduduk-penduduk di kampung ini
hingga aku lupa bahasa Minang ku
kerana di sini aku belajar dan hanya menggunakan bahasa Jawa mereka
pada satu-satu purnama
akan ada tayangan filem di kain layar putih
dipasang di tengah padang sekolah
maka penuh lah kawasan rumah kuarters guru kami
orang berjualan digerai-gerai kecil beratap nipah
dipertontonkan juga tarian kuda kepang yang berjampi serapah
silat Melayu tak dilupa
anak-anak muda mula berpandangan
namun aku tak faham makna kerlingan mereka
aku hanya anak kecil yang berlari riang bersama kawan sepermainan
pada setiap malam
melalui lorong kecil gelap tiada cahaya lampu
hanya mengguna obor dari daun kelapa kering
ke rumah Ustaz Nan untuk belajar solat dan membaca Al-Quran
mengambil air sembahyang mengguna air kolam yang tak bertangga
hanya sebatang kayu menjadi pegangan
sementara menunggu azan
sempat bersantap kuih-muih lebihan jualan penduduk yang disedekahkan ke rumah ini untuk anak-anak murid yang belajar mengaji..
semoga mereka dimurahkan rezeki..
dan bila baba perpindah lagi ke bandar
aku menangis tanpa henti
walau dipujuk..
bagaimana harus aku melupakan
pada kampung terindah ini
penduduk yang ramah dan terlalu baik hati
segala pelajaran menjadi manusia banyak bermula di sini
kini
aku telah dewasa
dan aku tak pernak lupa setiap Syawal untuk menziarah
bangga kemodenan bertapak
tapi aku lebih rindu pada zaman mengutip pucuk paku..
terima kasih Parit Serong
kerana kau menjadikan zaman kanak-kanak ku begitu tinggi nilai kemanusiaan dan kehidupannya..
..dan aku rindu lagi..
No comments:
Post a Comment