Thursday, 19 May 2011

Puisi tanpa tajuk



Ibu
sudah sekian kali ku lihat kau menyeka airmata mu
cuba bertahan walau langkah mu goyah
menyelindungi kehampaan atas kehilangan
kau ramas tanah yang menutup jasad anak mu
dalam pada hancurnya harapan
kerana masih terngiang janji sang anak untuk menjaga dan membela
dalam pada redha
merintih jua hati kerana tahu ia pemergian abadi

Ayah
tiada tangisan..tiada kata..berdecit juga tiada
namun jelas aturan mu lemah mengurus jenazah
dan apabila talkin kedengaran
bayang mu lesap dari barisan hadapan
rupanya kau terduduk jauh di sudut belakang
tunduk tak mampu mengangkat wajah
aku tau kau juga menangis
dan ku biar kau di situ melabuhkan  segala lara
yang tidak akan mampu terucap oleh seorang nakhoda keluarga

kami adik beradik
hanya mampu menahan pilu yang bukan kepalang
hanya kedengaran isak dan sendu
sambil menadah tangan sempat jua segala kenangan berputar di fikiran
dan sebak semakin hebat
bila datang persoalan
cukupkah kemesraan kita?

kini..
pohon-pohon yang kau semai makin hijau di kebun kita
begitu subur seperti kasih sayang kita sekeluarga
sesegar itu jua kau dalam album jiwa kami
malangnya tuan yang berjasa sudah tiada
dan ku bunuh belalang yang memakan daun sayuran mu
kerana merosakkan secebis kenangan yang tersisa

abang..
ku tinggalkan kuburan mu buat sementara waktu
aku akan bertamu lagi
sebagai tetamu yang berdoa tanpa jemu
atau mungkin jua kembali sebagai jasad seperti mu..


(Al-Fatihah buat arwah kekanda Mohammad Najeeb Bin Kamaruddin yang pergi buat selamanya pada tanggal 14hb May 2011)


No comments:

Post a Comment