Sunday 27 March 2011

Jangan mati dalam hidup mu

Hidup adalah kehendak
mati adalah pasti
bangun setelah mati waktu hidup adalah kejayaan yang paling nikmat
tetapi terus mati waktu hidup adalah keperitan, kepiluan, penyeksaan emosi dan pemikiran yang mendalam

aku di sini bukan pentafsir hidup mu
aku juga bukan meramal nasib mu
jauh sekali untuk menimbang beban di pundak mu

aku hanya seorang yang punya mata galak
memerhati  liar dengan penuh takjub
menghormati diri mu atas sifat-sifat
kesungguhan mu..
keazaman mu..
semangat mu..


kini..pada bibir ku ada senyum terukir
melihat kau sudah pandai meletak nilai
bahawa air mata mu punya harga
dan keringat mu itu berkat ..
kerana keihlasan mencari rezeki walau bukan tanggung jawab mu
tidak wujud lagi ayat diperkotak-katikkan

kerana itu jua aku tahu kau tidak akan terus tersungkur..
mati dalam hidup mu hanya sementara
ku peringatkan..
kau bukan berseorangan
kita sama sahaja

syukur..kita makin berdiri teguh untuk berkata..
dan melaung pada puncak gunung ini .."terima kasih kepada segala kesengsaraan!"
kerana itulah yang membuatkan kita kini mampu berdiri semula
atas pasak bumi yang berduri
lebih teguh dari semalam
kerana kita punya Tuhan
dan semangat untuk hidup bukan pada tangan sesiapa
kecuali pada tangan kita

Wednesday 23 March 2011

Bukan yang dulu

Siapa duga kita kan bertemu kembali
setelah berkurun terpisah
bagai tak terpadam setiap episod hidup lampau
dan kita mula bebicara tanpa jemu
leka dalam senyum dan tawa
lena dalam kenangan silam
wajah bersinar bak kejora
segala dendam diluah hingga ringan bak bersayap
mata mula bercahaya bagai waktu terbenamnya suria
hidup mula bernafas lancar dek harum kenanga.. melur.. dan kemboja

tiba-tiba..
kau mula bertanya..adakah kini aku bahagia ..
terhenti tawa tadi..
aku mula tertunduk lesu..
sejujurnya aku tidak akan menjawap pada setiap persoalanmu itu

kerana sifatku adalah..
mulut terkunci dek prinsip
rahsia ku bawa mati
parut ku selindungi
luka ku ubati sendiri
tragedi bukan untuk tontonan
kisah diri ku ghaibkan dari mata manusia
dan butir-butir kata hanya dilepas pada laut

maafkan aku..
aku bukan insan yang kau kenali dulu
pesona itu telah lama terpadam
diari tidakkan bertulis lagi
langkah ku hanya perjalanan tanpa tujuan

hati dan perasaan?

maaf..fungsinya telah mati..

Tuesday 22 March 2011

Rujukan

Tarikh keramat ini datang lagi
membuatkan ku melangkah ke satu sudut
di sana ada sebuah peti usang
setia menantiku walau sarang labah-labah sudah menyeliputi seluruh ruang

tatkala ku membuka
bergelojak jiwa
bergetar rasa
menggigil tangan
tubuh mulai longlai
satu demi satu dosa datang silih berganti di ingatan
dan ketika ku sentuh mu lagi
airmata mula bergenang

tarikh ini beberapa tahun yang lalu
aku di tanah yang begitu suci
hingga kusam helaian-helain mu
kerana waktu itu aku kerap membuka dan membaca mu
sering menunduk tanda taubat
mengunci mulut dari kata yang sia-sia
mematikan langkah ke arah yg salah
hati yang dulu bagai batu
ku pecahkan jadi butiran-butiran bercahaya

tapi kini..seluruh kehitaman menyelubungi diri kembali
bau busuk dosa bagai nanah
terkilan di mana ku letak diri selama ini

wahai isi di dalam peti usang ini
terima dan bawalah aku kembali menghampirimu
membacamu..
memahamimu..
cuba melaksanakan ayat-ayatmu
jika tidak secara keseluruhan..
jika tak mampu seperti para solehah
jika terlalu jauh dari kesempurnaan
izinkan aku memulakannya semula..
walau dari huruf pertama..

Alif...

Sunday 20 March 2011

Terpinggir


Teman yang pernah menjadi sahabat..
ingatkah kau tentang masa lalu kita
pernah berkongsi cerita
berjalan bersama
dan menghargai kehadiran

tapi kini
jangankan untuk bersedekah sebuah senyuman
memandang ku jua kau berasa begitu menjengkelkan

bagai terlalu besar dosa ku pada mu
bagai terlalu menyakitkan kesalahan ku pada mu
bagai aku terlalu hina untuk sebuah kemaafan
terlalu bajingan kalian perlakukan

aku hanya manusia jahil
yang tak menyedari apa yang sebenarnya berlaku
sehingga kau begitu bangga di hadapan teman-teman lain kau berjaya mengasingkan diri ini
sehingga semua memandang ku bagai penuh silap dan dosa
malah semakin galak hilai dan tawa di belakang ku
entah apa agaknya bicara kalian

seandai benar kesalahan dan kesilapan ini terlalu besar
pernahkah terfikir' akan dikau
bicara mu jua sering terlepas kata
perbuatanmu jua kekadang amat menyakitkan

lupakah kalian
kalian juga manusia seperti ku..
yang masih punya catitan di sebelah kanan juga catitan di belah kiri?

kau yang ku anggap contoh muslimah sejati
kalian yang ku pandang begitu kekal pengabdian pada Tuhan
lupa tentang persaudaraan
lupa akan umpatan
lupa akan sifat memaafkan
lupa sifat kemanusian
lupa erti kasih sahabat dan saudara

di sini dalam tangisan yg sarat
bersama hati yang berat
ku redha akan terasingan ini
dan pada Tuhan aku mengadu
biar rindu ini sentiasa terkawal
dan mengingatkan ku
agar sentiasa beringat bahawa sepi tidak bermakna sendiri
ini bukan musibah..
ini hanya ujian

Saturday 19 March 2011

Baru ku sedar

Sekiranya ku tahu
kau yang ku tuju
tentu aku tidak akan merapu
bertahun-tahun mensiakan waktu
yang sentiasa bermula dengan rasa syahdu
dan pasti segalanya bernoktahkan pilu
kerana aku bukan pentafsir mimpi
tidak juga peramal masa hadapan
jauh sekali mengetahui akan perkara yang akan mendatang

namun tahun-tahun terakhir ini
baru begitu jelas satu persatu peristiwa
paparan demi paparan bermain di mata
yang dipertunjukkan oleh-Nya
dan aku mula berkata
'oh Tuhan..jika ku tahu itu maksud-Mu'
betapa jahil aku tentang perancangan-Mu

bersyukur kini setelah mata hati tidak tertutup lagi
tanpa ragu dan begitu pasti
akan aku terokai, hargai dan memahami
anugerah Illahi ini
mengakui kebesaran Tuhan
atas penyatuan..

Apa yang ku cari

Kedewasaan datang bersama pencarian
yang bukan satu tetapi beribu
ke atas hidup
ke atas tujuan
ke atas pegangan
ke atas cinta pada Tuhan, diri, keluarga, sahabat, juga musuh
dalam celik mahupun buta

ku andaikan perjalanan ini bagai mitos-mitos indah
tetapi rupanya tersandung itu adalah kebiasaan
kekerapan yang bagai terserap menjadi darah

ku cuba berlari ke semua tempat yang menjadi igauan
namun jatuh..jatuh..dan jatuh lagi
aku mula sesat kerana penat melalui landasan hakiki

tetapi kini bersama anjakan waktu
aku mula faham
jika tak bisa berlari..aku  harus berjalan..
jika tak mampu berjalan.....merangkaklah wahai diri..

namun andai merangkak jua suatu yang mustahil
berhenti seketika..
toleh ke belakang sebagai pengajaran
pandang ke hadapan sebagai cita-cita
kiri dan kanan sebagai dorongan

kutip lah kembali jiwa-jiwa yang tenang
satukan semula tulang-tulang kekuatan yang hancur bertaburan
cantumkan kaca-kaca kehidupan yang berserakan
dan mulai berlari semula


Saved

Tuesday 15 March 2011

Berikan aku sedikit waktu lagi

Maafkan aku
andai tulisan hati ini
terlalu banyak coretan pilu
terlalu penuh gambaran hitam
terlalu sarat cerita silam

bukan aku tak punya cita
bukan aku tidak gembira
bukan aku tak kenal jaya
bukan aku tak pandai bersyukur

akan sampai waktu
paparan indahnya hidup ini akan
bertahta di setiap cerita
penuh hilai dan tawa
harum bak kemboja
putih bagai mutiara
suci bagai embun pertama

namun untuk waktu ini
izinkan kekeruhan dialirkan sederas bah
agar selepas ini ku bisa
hidup dalam nyata
ringan berterbangan bak debunga
yang akan menghasilkan bunga-bunga bewarna ceria.

Saturday 12 March 2011

Kesedaran

Malam ini aku ingin kau tahu
itu semua sejarah
yang apabila ia berlaku..
tiada penghargaan
setelah ia berlalu
baru ia dikatakan 'Tercipta Sejarah'

untuk apa syair semalam?
atau puisi kenangan?
setiap bait telah lama ku letak titik noktahnya
tintanya ku buang ke tujuh lautan
paparannya ku bakar sehingga menjadi debu hilang ke seluruh benua

Lupakah kau
hikayat..
hidup tapi mati?
tawa dalam sendu?
bergerak tapi kaku?
gelap dalam cahaya yang terang?
tujuan tanpa pedoman?
jalan mati?
perasaan tak berjiwa?
rasional tanpa kewarasan?
waktu berlalu tanpa makna?

namun ku berterima kasih jua padamu
kerana perahan kasturi yg kau siram atas lukaku
telah membuka mata hati..
bahawa..

walau indahnya matahari dan bintang..
indah lagi bumi yang ku pijak

walau merdunya bunyi ombak dan siulan burung kayangan..
merdu lagi laugan azan dan zikir

walau tingginya nilai permata, emas dan mutiara
tinggi lagi nilai Al-Quran yang ku amalkan

walau tidak punya apa
masih bahagia

dan maafkan aku
kerana sesungguhnya kau mimpi yang indah
tapi aku lebih bahagia bila terjaga

Wednesday 9 March 2011

Hamba dunia



Dalam kepayahan, kesakitan. kesusahan dan keresahan
mengalir airmata
betapa lama tidak ku baca istirja'
sehinggalah ku ditimpa ujian dan cubaan atas kehendak dan Iradah Tuhan

dalam basahnya pipi
ku yakin ada rahmat di sebalik duri yang menikam
juga mengingatkan aku yang lama alpa
dari bersuara memohon kepada Tuhan..
membiar diri leka bergelumang dalam binasa..

dalam tangisan keinsafan
masih ku ingat ku kejar bayang-bayang yang akan hilang
terpegun pada pelangi yang hadirnya tak bermakna selain warna
berbicara tentang dunia yang kegembiraannya sementara

dan kini..dalam memahami akan kebenaran ada Batas Waktu
ku bermohon agar ku terus pelajari tentang..
tujuan,
erti,
maksud
dan
guna hidup ini..

Wednesday 2 March 2011

Mengertilah Hati

Duhai hati yang cuba ku ubati
mengapa kau masih berdarah
bukankah serpihan-serpihan kaca telah ku keluarkan
ku basuhi dengan airmata keredhaan, kemaafan dan kesyukuran..

Duhai hati yang cuba ku lindungi
mengapa kau masih bergetar kesakitan
bukankah telah ku gulung segala lukisan
ku tanam jauh di taman mawar merah
agar berkubur bersama keindahan wanginya bunga cinta

Duhai hati yang cuba ku selindungi
mengapa masih terserlah di riak wajah rasa terkilan
bukankah salahmu terlalu mengikut perasaan
hingga hilang sifat kasih dan sayang
kerana ego mu ..
kerana ketidak sabaranmu..
hingga kau lupa..bukan semua perkara ada peluang seterusnya

Duhai hati anugerah Tuhan
lepaskan lah perkara yang sudah
padamkan lah api harapan
luputkan lah segala kenangan
tak perlu dijadikan ia sejati atau yang membawa ke mati
percaya pada Illahi