Wednesday 16 November 2011

DARI SUARA ANAK KECIL DAN BICARA KANAK-KANAK


Wahai dunia
mari dengar aku berbicara
dari suara kecil
dari hati yang bersih
tanpa agenda tersendiri

akulah kanak-kanak dunia itu
bukan keterlaluan yang ku pinta
hanya wanginya udara
hanya bersihnya sungai
hanya birunya laut dan langit
demi kami! demi fauna! demi flora!

wahai seluruh penduduk alam
sayangilah kami
kasihanilah kami
fikirkanlah kami kanak-kanak sedunia
dan berikanlah kami janji
...bahawa esok masih ada..


ADA APA LAGI



Aku adalah insan kecil yang semakin kerdil
setelah sekian lama memerah tenaga sehingga tua
masih tak punyai apa untuk ku wasiatkan kepada keturunan
selain keperluan asas yang nilainya malu untuk ku wartakan

Aku adalah hamba yang sudah jauh mengembara melepasi usia
masih tak punya bekal jika ditarik nyawa
masih bisa tertawa atas kejahilan
dan bisu pada kemungkaran

Aku adalah bangsa yang semakin hilang daulatnya
yang semakin tipis haknya
yang semakin hilang kekebalannya
yang semakin pupus kuasanya
yang juga semakin alpa dan lupa
yang pura-pura tidak sedar bahawa asal usul sudah diludahi
yang membiarkan minda dan diri bangsa terus menjadi hamba penjajah zaman ini..
sehingga miskin di dunia dan tiada bekalan untuk akhirat


bangun! buka mata! pasang telinga!
Hijrah  segera!
kita muafakat! kita cari berkat!
hentikan menikam meracun menghina memfitnah saudara seagama dan sebangsa!
walau kita mungkin sudah terlambat..
kerana sejarah kita sudah digubah 
pembelajaran subjek Sejarah bukan lagi wajib
agama pula mereka cabar ..
ada apa lagi?!!

maka aku ingatkan juga pada diri sendiri
buat sekian kalinya..ku tampari wajah ini dan berkata ..
jika hak yang tinggal sekelumit ini juga aku gadaikan..
jika waktu yang pendek ini juga tidak ku kejar membuat amalan..
sesungguhnya aku dalam kerugian yang nyata..


Friday 11 November 2011

IDENTITI YANG HILANG

usah kau soal siapa aku untuk berkata-kata
jangan kau tanya di tahap mana pendidikan ku untuk mempersolkan
status ku juga bukan untuk kau selidiki hanya kerana aku bebas mengutarakan
selagi aku merasakan ini tanah bangsa
jari jemari ini akan meneruskan penulisannya..

ideologi yang berbeza..ketepikan!!
pejuang-pejuang kita orang yang sama!
maka atas alasan apa sebenarnya kalian bertelagah?
menindas
mengeji
menfitnah
yang tua mengguna kuasa
yang muda mengguna tenaga
yang kecil mencontohi
panggilan apa harus ku berikan pada kalian semua
apabila semua itu menjadi pemangkin pemisahan pada penyatuan?!


waktu ini bangsa lain terus bertepuk tangan
mengambil kesempatan pada jalan yang kalian sendiri halakan
sedang kalian sibuk membunuh maruah bangsa kita sendiri
orang lain sudah jauh ke hadapan
mereka tak perlu membeli
tetapi kalian sendiri menyerahkan dengan percuma harga yang ada
maruah
pusaka
semua sudah tiada!!
dan jika masih sekelumit yang ada pada bangsa kita
ia kebayakannya hanya dimiliki oleh hati yang telah dijajah..

kita semua sebenarnya sudah menjadi kuli pada tanah bekas milik nenek moyang kita
kita sudah menjadi hamba pada pengembara
kalian bukan tidak cerdik untuk tidak menyedari
cuma kalian lebih suka menjadi tuli..

ah..picisan ini tak mungkin akan bisa menginjak paradigma siapa pun..
maka jadilah aku sama seperti mereka yang berasa..
bicara tanpa nama
memekik tanpa kuasa..

namun biarlah..walau hanya ada semangat untuk ditawarkan
pasti tidak akan sia-sia..

biar tidak ada yang akan mendengar
asalkan jiwa ini tidak terus bisu dan mati membiarkan pada sesuatu yang pastinya racun yang terus menular..


Friday 28 October 2011

KOSONG

Air mata sudah bertukar menjadi darah
luka sudah menjadi nanah
hempedu menjadi batu
masih apa lagi yang kau mahu

berbelas tahun
menuruti
menghormati
memahami
hingga lupa akan diri sendiri

perkiraan
perancangan
pengubahsuaian
penghambaan
hingga menjerit tanpa suara lagi

anak mu itu adalah bapa kepada anak-anak ini
hakikat terikat tidak akan berubah
tapi semua itu tidak pernah cukup
atau rasional dalam akal sedar mu
dalam pasir di tanam matinya tidak
hidupnya tak berpijak

bila senggang hanya bisa bermenung
memandang kosong
tanpa cita
tanpa rasa

hanya pada mu Tuhan
segala rahsia
menunggu waktu untuk terbuka..
dan pada waktu itu aku pasti masih bisa tersenyum menerima
kerana yakin itu kasih sayang dari Mu..

Wednesday 14 September 2011

KAU MASIH MENCARI....



Tidak ada siapa yang akan memahami mu
andai tidak ada yang kau benarkan menembusi
dan kerana kau tidak mengizinkan mereka menerokai

atas kuasa apa yang mereka ada
untuk membaca kekusutan
atau segala yang bekocak

membiar sengsara dan kesesatan mula berantakan
dek petualang anggapan sendiri
maka bertaburan..berterbangan kewarasan seorang pengamal fakta


Siapa kita untuk memecahkan semua misteri hidup ini
yang selumbarnya masih tertanam di hati

jangan sampai tak bermaya
cepat cacak teguh azam yang pernah diperkata

yang buntu kita biar di situ
kerana Tuhan lebih tahu

yang jelas kita perlekaskan perlaksanaannya..
jangan seperti menunggu bongkah di gunung menjadi kerikil tanpa disentuh

berdiam itu hanya untuk pengisian yang baik
bukan untuk menambah kekosongan ruang tuli


Sunday 21 August 2011

PERCUBAAN TERAKHIR YANG GAGAL
(..dari pandangan seorang teman..)


Dalam diam..
cuba mengingati permulaan kisah
kenapa terlalu kabur..
kalau tiada kepentingan
mengapa hati terlalu berat
terlalu bodohkah terlalu lama setia
atau waraskah bila tidak lagi percaya..

akur ini bukan permainan
ada orang sanggup mati kerananya
ada orang sanggup bertahan kerana tiada keberanian
ada orang sanggup genggam kerana percaya itu takdir mereka
ada orang sanggup berdiam demi arus yg mengalir perlahan takut menjadi ombak
tapi maaf..mungkin wujud untuk mereka..tapi di sini itu dongeng..

memang air mata menjadi tiada harga
tapi setiap titik menjadikan hati lebih keras
tidak mahu berputih mata kerana takut
biar kali ini diredah..dicabar..
setiap tarikan nafas bukan untuk disia-siakan
dan tidak akan lagi peduli kata-kata nista hanya kerana sudah terlalu radikal

sampai waktu dunia kan melihat
semua lukisan kan hidup menjadi nyata
bukan tujuan camar ingin terbang bebas
tapi cukuplah sekadar terbang di luar sangkar..

Tuhan itu sentiasa ada pada siapa yang sentiasa percaya
dan atas dasar kepercayaan itu
tinggi rendahnya langit..bukan di tangan sesiapa
dan jika di sana masih bejaya juga memberhentikan langkah di sini
maka milikilah  jasad tanpa jiwa..

tapi di sini akan tetap tersenyum..
melihat manusia sanggup hanya menggenggam angin demi ego yang entah untuk apa..


Saturday 11 June 2011

Amwtwwmtd
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Thursday 19 May 2011

Puisi tanpa tajuk



Ibu
sudah sekian kali ku lihat kau menyeka airmata mu
cuba bertahan walau langkah mu goyah
menyelindungi kehampaan atas kehilangan
kau ramas tanah yang menutup jasad anak mu
dalam pada hancurnya harapan
kerana masih terngiang janji sang anak untuk menjaga dan membela
dalam pada redha
merintih jua hati kerana tahu ia pemergian abadi

Ayah
tiada tangisan..tiada kata..berdecit juga tiada
namun jelas aturan mu lemah mengurus jenazah
dan apabila talkin kedengaran
bayang mu lesap dari barisan hadapan
rupanya kau terduduk jauh di sudut belakang
tunduk tak mampu mengangkat wajah
aku tau kau juga menangis
dan ku biar kau di situ melabuhkan  segala lara
yang tidak akan mampu terucap oleh seorang nakhoda keluarga

kami adik beradik
hanya mampu menahan pilu yang bukan kepalang
hanya kedengaran isak dan sendu
sambil menadah tangan sempat jua segala kenangan berputar di fikiran
dan sebak semakin hebat
bila datang persoalan
cukupkah kemesraan kita?

kini..
pohon-pohon yang kau semai makin hijau di kebun kita
begitu subur seperti kasih sayang kita sekeluarga
sesegar itu jua kau dalam album jiwa kami
malangnya tuan yang berjasa sudah tiada
dan ku bunuh belalang yang memakan daun sayuran mu
kerana merosakkan secebis kenangan yang tersisa

abang..
ku tinggalkan kuburan mu buat sementara waktu
aku akan bertamu lagi
sebagai tetamu yang berdoa tanpa jemu
atau mungkin jua kembali sebagai jasad seperti mu..


(Al-Fatihah buat arwah kekanda Mohammad Najeeb Bin Kamaruddin yang pergi buat selamanya pada tanggal 14hb May 2011)


Thursday 5 May 2011

Dugaan berkawan..



Apa yang kau rasa
apabila berdiri di tengah-tengah mereka
tetapi tiada siapa yang menyapa

Apa yang kau fikir
apabila  bersimpuh di celah-celah mereka
namun tiada yang menjemput bicara bersama

Apa yang kau pendam
apabila kau di situ mendengar mereka tertawa gembira
tapi kau tidak tahu akan butir cerita

jika tidak kerana percaya itu semua cabaran untuk ke hadapan
jika tidak kerana berpegang pada keyakinan menongkah rintangan
jika tidak kerana kekuatan hati dan jiwa yang diberi kesabaran
pasti kau akan rebah atau melarikan diri

percayalah hidup ini segalanya atas dasar kerana Nya untuk Nya demi Nya
maka tidak perlu kau bimbang pada perbuatan atau kata-kata
anggap sahaja mereka masih mecari apa makna kemaknusiaan
atau anggap saja mereka membina kematangan

atau juga anggap saja mereka insan biasa..
..yang tidak perasan bahawa tindakan mereka melukakan


dan paling penting untuk kau anggap..
..bahawa ini masanya untuk kau cermin diri untuk menginsafi

dan sebenarnya 'kau' itu adalah 'aku'
yang sudah tidak punya airmata lagi untuk perkara-perkara sekecil itu

di mana di luar sana dunia mendempang tangan
menerima manusia yang berasa dia hanya hamba yang hina yang tak henti cuba memperbaiki diri
untuk terus berjalan bersama mereka yang tawaduq, memaafkan dan mencari kemajuan hidup
tanpa soalan tentang masa lalu

dan jika sekalipun mereka tahu
mereka hanya akan memberitahu aku jangan sekali-sekali ragu
teruskan saja walau hanya berjalan perlahan
kerana kelak apa yang membezakan mereka dari diriku
ialah aku semakin tua menambah kematangan
bukan semakin uzur tanpa kedewasaan..

namun itu bukan doa ku..
sehitam dan seburuk mana kau lukiskan
masih pinta ku pada Nya...
kita semua ..
ya benar..termasuk kalian semua
bersama-sama kita diterima, disayangi dan diberkati Nya..
aku tak perlu hipokrit untuk menyatakan
bahawa kalian masih kawan..

Saturday 30 April 2011

Jangan kata aku tidak mencuba


Bagaimana untuk aku halang ia dari melintas di fikiran
bagaimana pula untuk ku padam kerana ia bukan tulisan tangan
seberapa payah ku cuba untuk tidak menoleh
hati tetap bergetar seperti ada gesaan dari  belakang

lalu ku pantaskan langkah mara ke hadapan
tetapi rasa itu seperti bayang yang tak pernah meninggalkan
dan apabila lelah berlari..makinlah ia menghampiri
hingga bisa ku dengar desir di telinga akan terlalu hampirnya ia

serasa waktu terhenti..
kaki lumpuh ..
tubuh kaku
tiada bunyi dunia waktu ini
jantung berdegup melangkaui ketenangan
bagai diserap jiwa kedua..
engkaukah itu di belakang?

namun dengan segala kudrat yang tersisa
dan semangat yang membara untuk satu perubahan berani mati
becampur baur dengan rindu dan kasih yang tersisa
ku gerakkan lagi langkah walau ia bererti setiap pergerakan
akan menyiat-nyiatkan kulit dan menceraikan daging dari tulang ini

ia benar..
apa yang kutinggalkan itu terlalu indah bagai dongeng Negeri Kayangan
tapi hidup ku ini bukannya mimpi
darah ku masih merah mengalir panas untuk hidup sebagai manusia
bukan mayat yang ditoreh masih tak meraung

namun sakitnya
apabila betapa marak api semangat dalam setiap titip-titip ayat ku tadi
masih ingatan bertandang..
maka sekali lagi aku bertanya ...
.......

Bagaimana untuk aku halang ia dari melintas di fikiran
bagaimana pula untuk ku padam kerana ia bukan tulisan tangan
.......

Friday 15 April 2011

Bila hati berkuasa..



Berhenti seketika dari terus melayan perasaan
kerana sampai bila pun kesepian akan tetap terasa
rindu..kecewa..terluka..kita letak sebentar di satu sudut tertutup
selagi bernafas dugaan dan cabaran pasti akan datang lagi
untuk menguji kekuatan diri dan keimanan di hati

kita sudah terlalu dewasa untuk membelai jiwa lara
rampas balik kuasa ke atas hidup kita
kita nakhoda perasaan dan perjalanan yang tak selama mana lagi
cerita hidup kita jangan hanya dibiar berkisar pada air mata


dunia ini masih terlalu luas untuk kita tongkah
masih banyak ilmu terbiar

mati kah kita tanpa mereka
sedangkan kasih sayang yang melimpah dari Tuhan dan alam..
kita diamkan....kita sepikan....kita tidak nilaikan

jangan biasakan diri lari dari masalah yang sebenarnya kita boleh noktahkan
jangan hanya menerima arus ganas mereka menghanyutkan terus diri kita
jangan dibiarkan diari hanya penuh tentang semalam dan hari ini yang mengecewakan

kita sudah bertahun-tahun menggunakan ayat yang sama;
..kau tak rasa..
..kau tak berada pada kedudukan aku..
..aku dah cuba..
..kau pandai berkata-kata sahaja..
..hati aku tidak boleh aku ajari sewenangnya..
..aku setia..

aku paham itu benar
tapi marilah kita pandang dari sudut yang berbeza
kita buka ruang yang dulu kita tutup
kita lalui jalan yang baru
kita ubah topik bicara
kita utuhkan jati diri
kita ciptakan cita-cita

kita tak perlu menghilangkan atau merubah siapa diri kita yang sebenar untuk itu semua
kerana kita tetap kita
cuma kita kini berbeza
tanpa cuba melupakan
atau memadam api yang membara
kita masih boleh mengembara dengan jaya selagi kita yakin dan berpegang pada agama

apa yang ku pinta
hanya kita teruskan hidup ini dengan mengubah tangisan kepada senyuman
cuba kita tinggalkan sebentar dunia misteri itu
pasti rindu..
tetapi kita bukan membuangnya
kita hanya mengaburkannya dari terus menjadi perkara yang utama

seperti pada puisi-puisi ku yang dahulu
ku peringatkan sekali lagi
kau dan aku sama
kita seiring sejak umur kita belasan tahun lagi
tapi pada saat kau gagal kuasai hati..aku akan berdiri memegang tangan mu
dan pada saat aku sesat lagi..tolong tarik tangan ku..
dan pasti pada satu-satu masa..kita masih boleh meluahkan lagi
tentang resah dan duka lara..
kerana kita belum mati..

menjadi sebegini bukan kehidupan yang dipinta
dan selagi  mencuba..
kesalahan tidak seharusnya hanya diletak pada bahu kita
hai dunia sekeliling..
mungkin kalian juga harus cermin diri sebelum menunding pada kami

teman..jangan menangis lagi..
kita mungkin tak sebertuah mereka
tapi mungkin dengan sedikit usaha lagi
kita akan memiliki

walau kebanyakan waktu.. kita lebih kepada pencari yang sering buntu..

Sunday 10 April 2011

Cerita ku..Kampung Parit Serong

Aku sudah lupa sudah berapa banyak kali aku berpindah
mengikut Baba dalam tugasannya
Mama akur dan patuh sahaja
namun aku yang paling gembira
punya teman baru..rumah baru..
setiap persinggahan berbeza

namun ada satu kampung terpencil
yang tidak akan terpisah dari hati ini
bersama Pak Haji Shamsudin
ke sawah mengail ikan sepat dan puyu
ke parit mengaut ikan laga dan berudu
ke kebun mengutip cili dan pucuk paku
memanjat pokok pelam dan pokok jambu
memetik buah kopi dan buah koko
membuat minyak kelapa
membuat layang-layang yang tak pernah terbang
meniup buih sabun dari batang daun betik
aku terlalu obses dengan penduduk-penduduk di kampung ini
hingga aku lupa bahasa Minang ku
kerana di sini aku belajar dan hanya menggunakan bahasa Jawa mereka

pada satu-satu purnama
akan ada tayangan filem di kain layar putih
dipasang di tengah padang sekolah
maka penuh lah kawasan rumah kuarters guru kami
orang berjualan digerai-gerai kecil beratap nipah
dipertontonkan juga tarian kuda kepang yang berjampi serapah
silat Melayu tak dilupa
anak-anak muda mula berpandangan
namun aku tak faham makna kerlingan mereka
aku hanya anak kecil yang berlari riang bersama kawan sepermainan

pada setiap malam
melalui lorong kecil gelap tiada cahaya lampu
hanya mengguna obor dari daun kelapa kering
ke rumah Ustaz Nan untuk belajar solat dan membaca Al-Quran
mengambil air sembahyang mengguna air kolam yang tak bertangga
hanya sebatang kayu menjadi pegangan
sementara menunggu azan
sempat bersantap kuih-muih lebihan jualan penduduk yang disedekahkan ke rumah ini untuk anak-anak murid yang belajar mengaji..
semoga mereka dimurahkan rezeki..

dan bila baba perpindah lagi ke bandar
aku menangis tanpa henti
walau dipujuk..

bagaimana harus aku melupakan
pada kampung terindah ini
penduduk yang ramah dan terlalu baik hati
segala pelajaran menjadi manusia banyak bermula di sini

kini
aku telah dewasa
dan aku tak pernak lupa setiap Syawal untuk menziarah
bangga kemodenan bertapak
tapi aku lebih rindu pada zaman mengutip pucuk paku..
terima kasih Parit Serong
kerana kau menjadikan zaman kanak-kanak ku begitu tinggi nilai kemanusiaan dan kehidupannya..
..dan aku rindu lagi..

Rasa yang terpendam

sukarkan menjadi dewasa
lebih sulit apabila situasi tidak mengizinkan untuk bebas berbicara
langkah tidak boleh sebarangan
perlakuan juga harus berhemah
malah segalanya harus rasional
kekadang terfikir hidup ini untuk siapa
berapa lama harus memegang watak
yang hanya penonton gemar dan yang hanya boleh diterima akal mereka


segala rasa dan kemahuan disimpan kemas
segala keinginan dipendam sedalam-dalamnya
kekadang bila sudah terlalu penuh dan jerih menahan
maka ia menimbulkan rasa yang amat menyakitkan..menyenakkan..
kewarasan jadi tipis
tapi kita masih menutup luka dari dunia

di mana sebenarnya kita meletak nilai diri
bila sanggup melupakan hak sendiri
membatas dan memagar hakiki
dalaman  hancur
asal yang sebenar tidak bolos pada mata mereka
menahan suara hingga pecah dada

tapi kita kan begini
masih juga begini...
sehingga mati kita mungkin juga masih begini..

Saturday 9 April 2011

Dalam gelap hati berbicara

Duhai malam..
kau sering membawa ku hanyut dalam lamunan
tenggelam bersama perasaan 
sebati dengan kesunyian
leka mencipta angan-angan 
membariskan jua apa yang seterusnya ingin digapai


waktu malam jua
kekadang aku tertawa sendiri 
..apabila membelek helaian kenangan 
bercampur baur kekecewaan mengenang
..kegagalan dan langkah yang tak kesampaian
dan mencongak sudah berapa mimpi menjadi kenyataan
dan cita-cita yang sudah digenggaman


semuanya mencipta aku yang kini


seperti malam-malam yang lepas
aku mula memikirkan lagi
tentang semalam, hari ini dan esok
tentang yang sudah terlambat..
tentang yang masih boleh diubah..
tentang yang akan diusahakan


satu yang pasti pada malam ini
aku yakin kecuali dengan kehendak Tuhan ..
esok akan ada mentari..







Saturday 2 April 2011

Satu perjalanan baru

Alhamdulillah dari ku untuk mu
pada waktu tecebis sisa kekuatan
pada waktu persoalan berpusingan
pada waktu alam terlalu bingit
atau kekadang hampir tiada decit
pada waktu kaki kaku untuk ke kiri atau ke kanan
hadir panggilan dari bumi para Ambiya

jangan dikait parut semalam
iman adalah mutiara di hati manusia
hanya Dia yang mengetahui
atau mungkin saja sebenarnya tidak wujud apa yang kau rasa tentang
..keterlanjuran di perjalanan
..fikiran hitam
..langkah yang tersimpang
..bicara beracun
atau
..tanggung-jawab yang tidak terlaksana
ini bukan waktunya lagi untuk kisah semalam..

pergilah..
di sana kan kau temui apa yang kau cari
hajati apa yang kau impi
beristirja' lah tanpa henti
bermohon sambil menginsafi

ah! terlalu banyak tak mampu ku titip setiap bait di sini
juga terlalu indah tak mungkin ku lukiskan
terlalu tenang tiada tandingan di semesta alam
terlalu merdu bacaan dan seruan tak seperti gurindam dunia

rasai...
serapi ..
hidu lah..

akan getaran dan gelombang suci
dan bawalah segalanya pulang
untuk amalan sepanjang zaman
dan jangan kau lupa
..........ajari aku........................


Sunday 27 March 2011

Jangan mati dalam hidup mu

Hidup adalah kehendak
mati adalah pasti
bangun setelah mati waktu hidup adalah kejayaan yang paling nikmat
tetapi terus mati waktu hidup adalah keperitan, kepiluan, penyeksaan emosi dan pemikiran yang mendalam

aku di sini bukan pentafsir hidup mu
aku juga bukan meramal nasib mu
jauh sekali untuk menimbang beban di pundak mu

aku hanya seorang yang punya mata galak
memerhati  liar dengan penuh takjub
menghormati diri mu atas sifat-sifat
kesungguhan mu..
keazaman mu..
semangat mu..


kini..pada bibir ku ada senyum terukir
melihat kau sudah pandai meletak nilai
bahawa air mata mu punya harga
dan keringat mu itu berkat ..
kerana keihlasan mencari rezeki walau bukan tanggung jawab mu
tidak wujud lagi ayat diperkotak-katikkan

kerana itu jua aku tahu kau tidak akan terus tersungkur..
mati dalam hidup mu hanya sementara
ku peringatkan..
kau bukan berseorangan
kita sama sahaja

syukur..kita makin berdiri teguh untuk berkata..
dan melaung pada puncak gunung ini .."terima kasih kepada segala kesengsaraan!"
kerana itulah yang membuatkan kita kini mampu berdiri semula
atas pasak bumi yang berduri
lebih teguh dari semalam
kerana kita punya Tuhan
dan semangat untuk hidup bukan pada tangan sesiapa
kecuali pada tangan kita

Wednesday 23 March 2011

Bukan yang dulu

Siapa duga kita kan bertemu kembali
setelah berkurun terpisah
bagai tak terpadam setiap episod hidup lampau
dan kita mula bebicara tanpa jemu
leka dalam senyum dan tawa
lena dalam kenangan silam
wajah bersinar bak kejora
segala dendam diluah hingga ringan bak bersayap
mata mula bercahaya bagai waktu terbenamnya suria
hidup mula bernafas lancar dek harum kenanga.. melur.. dan kemboja

tiba-tiba..
kau mula bertanya..adakah kini aku bahagia ..
terhenti tawa tadi..
aku mula tertunduk lesu..
sejujurnya aku tidak akan menjawap pada setiap persoalanmu itu

kerana sifatku adalah..
mulut terkunci dek prinsip
rahsia ku bawa mati
parut ku selindungi
luka ku ubati sendiri
tragedi bukan untuk tontonan
kisah diri ku ghaibkan dari mata manusia
dan butir-butir kata hanya dilepas pada laut

maafkan aku..
aku bukan insan yang kau kenali dulu
pesona itu telah lama terpadam
diari tidakkan bertulis lagi
langkah ku hanya perjalanan tanpa tujuan

hati dan perasaan?

maaf..fungsinya telah mati..

Tuesday 22 March 2011

Rujukan

Tarikh keramat ini datang lagi
membuatkan ku melangkah ke satu sudut
di sana ada sebuah peti usang
setia menantiku walau sarang labah-labah sudah menyeliputi seluruh ruang

tatkala ku membuka
bergelojak jiwa
bergetar rasa
menggigil tangan
tubuh mulai longlai
satu demi satu dosa datang silih berganti di ingatan
dan ketika ku sentuh mu lagi
airmata mula bergenang

tarikh ini beberapa tahun yang lalu
aku di tanah yang begitu suci
hingga kusam helaian-helain mu
kerana waktu itu aku kerap membuka dan membaca mu
sering menunduk tanda taubat
mengunci mulut dari kata yang sia-sia
mematikan langkah ke arah yg salah
hati yang dulu bagai batu
ku pecahkan jadi butiran-butiran bercahaya

tapi kini..seluruh kehitaman menyelubungi diri kembali
bau busuk dosa bagai nanah
terkilan di mana ku letak diri selama ini

wahai isi di dalam peti usang ini
terima dan bawalah aku kembali menghampirimu
membacamu..
memahamimu..
cuba melaksanakan ayat-ayatmu
jika tidak secara keseluruhan..
jika tak mampu seperti para solehah
jika terlalu jauh dari kesempurnaan
izinkan aku memulakannya semula..
walau dari huruf pertama..

Alif...

Sunday 20 March 2011

Terpinggir


Teman yang pernah menjadi sahabat..
ingatkah kau tentang masa lalu kita
pernah berkongsi cerita
berjalan bersama
dan menghargai kehadiran

tapi kini
jangankan untuk bersedekah sebuah senyuman
memandang ku jua kau berasa begitu menjengkelkan

bagai terlalu besar dosa ku pada mu
bagai terlalu menyakitkan kesalahan ku pada mu
bagai aku terlalu hina untuk sebuah kemaafan
terlalu bajingan kalian perlakukan

aku hanya manusia jahil
yang tak menyedari apa yang sebenarnya berlaku
sehingga kau begitu bangga di hadapan teman-teman lain kau berjaya mengasingkan diri ini
sehingga semua memandang ku bagai penuh silap dan dosa
malah semakin galak hilai dan tawa di belakang ku
entah apa agaknya bicara kalian

seandai benar kesalahan dan kesilapan ini terlalu besar
pernahkah terfikir' akan dikau
bicara mu jua sering terlepas kata
perbuatanmu jua kekadang amat menyakitkan

lupakah kalian
kalian juga manusia seperti ku..
yang masih punya catitan di sebelah kanan juga catitan di belah kiri?

kau yang ku anggap contoh muslimah sejati
kalian yang ku pandang begitu kekal pengabdian pada Tuhan
lupa tentang persaudaraan
lupa akan umpatan
lupa akan sifat memaafkan
lupa sifat kemanusian
lupa erti kasih sahabat dan saudara

di sini dalam tangisan yg sarat
bersama hati yang berat
ku redha akan terasingan ini
dan pada Tuhan aku mengadu
biar rindu ini sentiasa terkawal
dan mengingatkan ku
agar sentiasa beringat bahawa sepi tidak bermakna sendiri
ini bukan musibah..
ini hanya ujian

Saturday 19 March 2011

Baru ku sedar

Sekiranya ku tahu
kau yang ku tuju
tentu aku tidak akan merapu
bertahun-tahun mensiakan waktu
yang sentiasa bermula dengan rasa syahdu
dan pasti segalanya bernoktahkan pilu
kerana aku bukan pentafsir mimpi
tidak juga peramal masa hadapan
jauh sekali mengetahui akan perkara yang akan mendatang

namun tahun-tahun terakhir ini
baru begitu jelas satu persatu peristiwa
paparan demi paparan bermain di mata
yang dipertunjukkan oleh-Nya
dan aku mula berkata
'oh Tuhan..jika ku tahu itu maksud-Mu'
betapa jahil aku tentang perancangan-Mu

bersyukur kini setelah mata hati tidak tertutup lagi
tanpa ragu dan begitu pasti
akan aku terokai, hargai dan memahami
anugerah Illahi ini
mengakui kebesaran Tuhan
atas penyatuan..

Apa yang ku cari

Kedewasaan datang bersama pencarian
yang bukan satu tetapi beribu
ke atas hidup
ke atas tujuan
ke atas pegangan
ke atas cinta pada Tuhan, diri, keluarga, sahabat, juga musuh
dalam celik mahupun buta

ku andaikan perjalanan ini bagai mitos-mitos indah
tetapi rupanya tersandung itu adalah kebiasaan
kekerapan yang bagai terserap menjadi darah

ku cuba berlari ke semua tempat yang menjadi igauan
namun jatuh..jatuh..dan jatuh lagi
aku mula sesat kerana penat melalui landasan hakiki

tetapi kini bersama anjakan waktu
aku mula faham
jika tak bisa berlari..aku  harus berjalan..
jika tak mampu berjalan.....merangkaklah wahai diri..

namun andai merangkak jua suatu yang mustahil
berhenti seketika..
toleh ke belakang sebagai pengajaran
pandang ke hadapan sebagai cita-cita
kiri dan kanan sebagai dorongan

kutip lah kembali jiwa-jiwa yang tenang
satukan semula tulang-tulang kekuatan yang hancur bertaburan
cantumkan kaca-kaca kehidupan yang berserakan
dan mulai berlari semula


Saved

Tuesday 15 March 2011

Berikan aku sedikit waktu lagi

Maafkan aku
andai tulisan hati ini
terlalu banyak coretan pilu
terlalu penuh gambaran hitam
terlalu sarat cerita silam

bukan aku tak punya cita
bukan aku tidak gembira
bukan aku tak kenal jaya
bukan aku tak pandai bersyukur

akan sampai waktu
paparan indahnya hidup ini akan
bertahta di setiap cerita
penuh hilai dan tawa
harum bak kemboja
putih bagai mutiara
suci bagai embun pertama

namun untuk waktu ini
izinkan kekeruhan dialirkan sederas bah
agar selepas ini ku bisa
hidup dalam nyata
ringan berterbangan bak debunga
yang akan menghasilkan bunga-bunga bewarna ceria.

Saturday 12 March 2011

Kesedaran

Malam ini aku ingin kau tahu
itu semua sejarah
yang apabila ia berlaku..
tiada penghargaan
setelah ia berlalu
baru ia dikatakan 'Tercipta Sejarah'

untuk apa syair semalam?
atau puisi kenangan?
setiap bait telah lama ku letak titik noktahnya
tintanya ku buang ke tujuh lautan
paparannya ku bakar sehingga menjadi debu hilang ke seluruh benua

Lupakah kau
hikayat..
hidup tapi mati?
tawa dalam sendu?
bergerak tapi kaku?
gelap dalam cahaya yang terang?
tujuan tanpa pedoman?
jalan mati?
perasaan tak berjiwa?
rasional tanpa kewarasan?
waktu berlalu tanpa makna?

namun ku berterima kasih jua padamu
kerana perahan kasturi yg kau siram atas lukaku
telah membuka mata hati..
bahawa..

walau indahnya matahari dan bintang..
indah lagi bumi yang ku pijak

walau merdunya bunyi ombak dan siulan burung kayangan..
merdu lagi laugan azan dan zikir

walau tingginya nilai permata, emas dan mutiara
tinggi lagi nilai Al-Quran yang ku amalkan

walau tidak punya apa
masih bahagia

dan maafkan aku
kerana sesungguhnya kau mimpi yang indah
tapi aku lebih bahagia bila terjaga

Wednesday 9 March 2011

Hamba dunia



Dalam kepayahan, kesakitan. kesusahan dan keresahan
mengalir airmata
betapa lama tidak ku baca istirja'
sehinggalah ku ditimpa ujian dan cubaan atas kehendak dan Iradah Tuhan

dalam basahnya pipi
ku yakin ada rahmat di sebalik duri yang menikam
juga mengingatkan aku yang lama alpa
dari bersuara memohon kepada Tuhan..
membiar diri leka bergelumang dalam binasa..

dalam tangisan keinsafan
masih ku ingat ku kejar bayang-bayang yang akan hilang
terpegun pada pelangi yang hadirnya tak bermakna selain warna
berbicara tentang dunia yang kegembiraannya sementara

dan kini..dalam memahami akan kebenaran ada Batas Waktu
ku bermohon agar ku terus pelajari tentang..
tujuan,
erti,
maksud
dan
guna hidup ini..

Wednesday 2 March 2011

Mengertilah Hati

Duhai hati yang cuba ku ubati
mengapa kau masih berdarah
bukankah serpihan-serpihan kaca telah ku keluarkan
ku basuhi dengan airmata keredhaan, kemaafan dan kesyukuran..

Duhai hati yang cuba ku lindungi
mengapa kau masih bergetar kesakitan
bukankah telah ku gulung segala lukisan
ku tanam jauh di taman mawar merah
agar berkubur bersama keindahan wanginya bunga cinta

Duhai hati yang cuba ku selindungi
mengapa masih terserlah di riak wajah rasa terkilan
bukankah salahmu terlalu mengikut perasaan
hingga hilang sifat kasih dan sayang
kerana ego mu ..
kerana ketidak sabaranmu..
hingga kau lupa..bukan semua perkara ada peluang seterusnya

Duhai hati anugerah Tuhan
lepaskan lah perkara yang sudah
padamkan lah api harapan
luputkan lah segala kenangan
tak perlu dijadikan ia sejati atau yang membawa ke mati
percaya pada Illahi

Monday 28 February 2011

Teguran Untuk Diri

Perjalanan ini sudah jauh..
bicara ini mulai matang..
fikiran ini penuh pengalaman..
langkah ini ada tujuan
fahaman ini kukuh digenggam

tapi kenapa ya..

air mata masih begenang
senyum ikhlas masih perlu diundang
hati masih penuh rahsia
berdoa masih dalam sendu

adakah kerana terlalu memikir tentang bangsaku..

tentang adakah tanah yang kau pijak milikmu?
pekerjaan harian kepunyaan bangsamu
undang-undang yang kau turut ..gubalan keturunanmu?
kedudukan teratas masih berdaulatkah?
bentangan kertas kerja di parlimen akan menjadi tugasankah..
..atau disama taraf sebagai lawak tak berilmu..

bagaimana pula sekolah agama kita
jeritan anak-anak yang tersiksa kepanasan
masjid usang..
sekolah kebangsaan..
kuburan di hujung jalan..
rumah-rumah pangsa yang penuh wajah kita
kemana pula lepasan ijazah anak2 bangsa
mengharap pemimpin membela..
..yang sudah  tidak ada relevannya

aku pasti..
tak ramai ingin mengupas..jauh sekali memerah akal
dan bermulalah bicara..
"bukankah hidup ini sudah ada takdirNya"..atau..
"bila mati tak bawa apa"..atau..
"bersyukurlah seadanya"..

sayangnya bicara kita tanpa usaha..

Sukma

Sukma ingin berbicara
tentang hikayat Hati Semalam..
kerana seperti ada rama-rama yang tak lelah terbang
terpaksa ku buka mulut melepas kegusaran

tapi untuk apa..perlukah..dan yang pasti tak lagi bererti
jauh sekali bisa merubah warna di kanvas hati

keseorangan kah aku dalam rimasnya bersama persoalan demi persoalan
bergetar jiwa
menggigil rasa
tapi segala masih kekal sebagai jeritan yang tak terdengar oleh sesiapa
kerana perasaan masih kekal tanpa diluahkan..

maafkan aku sukma..
mulut ini masih tidak mampu menukar rasa kepada suara..

Sunday 27 February 2011

Andai..

Andai tusukan samurai bersadur bisa tedung itu menyakitkan..
sakit lagi perasaan yang terpendam

Andai Sahara itu panas membakar..
pedih lagi luka di hati yang menyimpan

Andai bisa ku cantum retak dicermin hingga tak ternampak retaknya
pasti cacat jiwa ku akan jua ku kaburkan dari pandangan

dan andai ku tahu bila noktah sebenar..
pasti tidak aku berpuisi lagi tentang semalam..hari ini..dan esok..