Tuesday 26 June 2012

PADA SAAT KAU TERKESIMA






Teman
aku tahu sukar bagi mu menerima cabaran segetir ini
ia datang tanpa diduga merampas segala yang kau sayang
menyentap segala bahagia

baru sebentar terdengar gelak dan tawa syurga dunia
bagai racun yang begitu cepat menjalar membunuh
bagai ombak Laut Jawa di bulan Desember yang ganas meroboh
dan dalam sesaat ..nafas bagai tak berasa..
akal tak bisa rasional
kerana yang menghempas adalah orang yang paling kau sayang dan percaya

sesaat itu juga..
dunia mu..
tiba-tiba sepi bagai Hiroshima dan Nagasaki pada tanggal 6 Ogos 1945

namun di satu sudut hati..
kemarau yang berpanjangan dalam peradaban mu
bagai memudahkan lagi bagi api dimarakkan
bertambah kering hati mu bagai lembah tanpa salju

kerana maruah.. bukan barang jualan ..dan tiada galang ganti

sabar lah Teman..
kami masih di sini memegang tangan mu..
bak kata pujangga ..sahabat bagai kepompong ..






Thursday 21 June 2012

HARUS PASTI




Kerdipan rohani
membawa renungan yang jauh dan bukan kosong
hijrah?
atau bertahan?

seharusnya di usia yang semakin remang
topik ini bukan lagi satu perbincangan meja tak formal

haruskah lebih sensitif dan peka pada kemudaratan yang menjalar
lalu lari mencari bintang dan udara segar di puncak gunung di daerah asing
kita terjah kekhuatiran yang mencengkam untuk memulakan sesuatu yang baru
kita harus yakin

atau..

pasak tumit sekuat mahaguru
menangkis terjahan senjata musuh di setiap fasa..tanpa henti..tanpa simpati..
semakin hari semakin parah
dan menjadi khadam bertauliah tinggi

namun..

kali ini segala keputusan adalah jalan mati
harus betul..harus pasti..
jika salah bererti mati kering sampai pupus!

teman..
mari kita bersidang di tempat lain
markas bawah tanah kita telah dijejaki gergasi Bota

kali ini kita harus pasti!


Monday 18 June 2012

RINTIHAN DI KUBURAN


Di kala ini..manusia semua mempertawakan ku
aku tahu itu..
Di kala ini..mereka menutup ke semua pintu
aku perasan itu..

Di kala ini mereka tahu aku mengangkat batu nisan ku sendiri
dan aku akur tunduk menjinjing batu kematian ku
namun tak berani untuk ku membalas renungan kebencian mereka pada ku..

duduk di atas kuburan sepi..
memandang keliling aku sendiri
terbayang indahnya bahagia yang seketika
mengalir airmata ku membahasi tanah ..
maka tumbuhlah benih pohon sejarah yang berdarah..

di ufuk sana..segalanya kian tenggelam
kenangan indahnya pelangi dan air di kali bersama udara seharum kasturi
dikeji..diludah..dan mayat ku dilangkah..

maka ku genggam kain putih yang janji kita dulu untuk diwarnakan
ku lipat ..ku genggam..ku cium..
wangi kenanga pada kain ini sudah bertukar kepada bau kapur barus..

ku heret perlahan kaki yang tak mahu pergi
ku jahit bibir yang tak mahu berhenti merayu di hati
ku butakan mata yang tak mahu beralih dari merenung kasih

aku tahu mereka tak tahu
yang aku telah tiada dan telah pergi buat selamanya..

ku genggam semua..bersemadi bersama jasad yang masih bernyawa
namun mati dalam realiti




Saturday 16 June 2012

CERITA BIASA NAMUN MASIH ADA..



Kebebasan itu rupanya di jiwa
walau diri terkurung sepi
kebahagiaan itu rupanya bagaimana kita ambil sesuatu yang amat negatif kepada sesuatu yang terbaik
walau tak pernah menyetujui
Keriangan itu rupanya bagaimana kita bisa tersenyum
walau hati sudah hampir mati

kejayaan  sebenarnya bisa digapai
walau diri harus melangkah dengan payah..
ketenangan sebenarnya bisa dimiliki
walau diri tak punya apa

tapi itu kata pujangga..
dan kata mereka yang punya masa untuk berseloka
yang berkata kita semua bersaudara..
benarkah?

bagi ku.. 

Malam ini hujan turun lagi..
bersyukur atas rahmat Tuhan..
makin ramai lah penghuni-penghuni di setiap rumah menarik selimut
atau mungkin menonton telivisyen bersama hidangan teh atau kopi pekat panas
atau terduduk dan terbaring kekeyangan selepas makan malam..
sambil berbicara gembira..tentang mesra dunia..

tiba-tiba guruh di langit mengejutkan lamunan yang jauh

hakikatnya hidup ku bukan begitu
aku harus bergegas mencari periuk belanga kemek 
dan jika tidak cukup, baldi dan gayung akan dijadikan mangsa 
bagi menadah air hujan yang lolos melalui atap-atap rumah ku yang kian banyak bocornya

aku pura-pura tidak nampak isteri ku yang setia 
cuba memujuk anak-anak yang sukar tidur kerana kelaparan
bubur yang dimasak bersama garam tak bisa menjinakkan perut mereka
sambil cuba menyelamatkan api pelita supaya tidak padam ditiup angin bersama hujan
lusuh baju isteri ku..pasti sudah menjadi kain lap kaki di rumah orang lain

dalam termangu..dan sebak berat hati seorang bernama ayah dan suami
aku menadah tangan mengharap ada rezeki esok yang bisa ku kaiskan
walau buntu melihat ombak yang semakin mengganas untuk diredah
dan tidak akan ada orang yang ingin mengupah membersih kebun selepas hujan
atau haruskah aku tanam maruah demi meminjam atau berhutang sekati beras lagi

bagaimana janji ku pada isteri dan anak-anak untuk beri hidup yang sempurna
sedangkan aku sudah cukup usaha memerah segala kederat lelaki ku

akan berpeluangkah aku bergurindam untuk anak isteri ku dan memberi mereka nasaf baru..
atau hidup kami..sampai mati begini..

..(Terima kasih buat semua yang bergelar Ayah..)..kesah ini secebis cuma....

Thursday 14 June 2012

AYAH..KESAYANGAN KU (buat Baba Kamaruddin Mohamed)


Ayah..
tahu kah akan dikau setiap hari
apabila bangun dari tidur ku
aku bersyukur kau masih ada
kerana saban waktu hati ku risau membilang tarikh lahir mu..
aku bersyukur kepada Tuhan
kerana dikau adalah salah satu pemberian teragung dari Nya
dan aku berterima kasih kepada mu ayah
kerana sehingga ke saat ini kau masih memegang tangan ku

Ayah..
tidak pernah sekali dikau meninggikan suara kepada ku
mungkin kerana aku anak perempuan
lucunya..aku jua yang kau bawa mengail ikan, berkebun, memburu haiwan dan
aku juga lah yang kau tidak pernah tinggalkan sebagai teman kecil mu ke sana ke mari
dan tidak akan pernah akan aku lupakan
setiap perjuangan hidup ku.. kau pasti ada di situ
secara terang-terangan atau di sebalik sedar ku..

seperti dikau akan lakukan apa sahaja untuk ku..aku jua begitu

dan hati ini menangis bimbang lagi di setiap ziarah ku mencari mu ayah..
makin dapat ku lihat..bertambah lagi garis-garis usia di wajah mu..
aku pilu..

aku bisa sahaja menjerit jika tak kerana waras ku
untuk menyatakan..semua yang ku miliki kini..
semua kejayaan..semua yang baik..adalah atas kesabaran dan ketegasan mu membesarkan ku
dan sesungguhnya Ayah..
tiada apa yang lebih berharga..
di setiap pertemuan kita..
iaitu..
pelukan kasih mu...

sayangnya aku kepada mu..





Wednesday 13 June 2012

PEMBELAJARAN TIDAK FORMAL



Anak-anakku..
apa yang ingin ku kongsi bersama mu
adalah  hanya sebesar zarah tentang kehidupan
yang mungkin akan kau lalui
atau mungkin juga lebih baik dari itu
namun ku harap bukan lebih rendah dari ringkasan yang terpapar di sini

apa yang kau lihat..
pandang ia dengan segala kebaikan
dan jika hitam..berikan ia lirikan insyirah..
memandang dengan mata hati..pelajari dan hayati..
hikmah Tuhan itu luas pada yang ingin mempelajari
maka kesilapan yang maha besar sekali pun akan
menjadi begitu penting untuk mengecapi sebuah kejayaan yang bernilai

apa yang kau dengar
jangan terus kau percaya..jadilah pendengar yang efektif
kita hanya manusia biasa..kita mungkin khilaf..
kekeliruan akan mewujudkan perselisihan
makin teruk jika ia membiakkan fitnah
khilaf yang harus..maka teruskan bagi sebuah kebenaran

dalam hidup ini segalanya perlu ada garis
bukan berapa panjangnya garis kehidupan
tepi hidup yang dijaga agar tidak terkeluar dari garis-garis norma yang dibenarkan

Anak-anakku..masih terlalu banyak yang ingin ku ceritakan
tak mungkin sempat untuk ku tulis semuanya
maka mari bersamaku berjalan bersama
kerana pelajaran terbaik..
masih yang kita lalui bersama..

Saturday 9 June 2012

Kejauhan Tanpa Keterasingan





Berdiri disini..
kenapa tiada rasa keterasingannya
walau bahasa tidak ku fahami
walau budaya tidak serupa
walau rupa jauh berbeza
walau masa melangkaui waktu di tanahairku
malah udara yang ku hidu begitu asing

begitu damai..tenang dan sebati seperti darah dalam tubuhku
adakah kerana bulan dan surianya masih yg satu
atau kerana malamnya bintang masih bewarna kuning dan biru

ku pejam mata untuk menduga adakah  zahir membuat aku rasa begitu
hairan....tanpa mata..
hati dan jiwaku masih rasa nyaman..bebas dan padu

pasti ada sesuatu ...
yang membuatkan aku tidak mahu pulang..

ku akan cuba menemuinya
walau ia bermakna..
"pencarian yang di mana harus ia bermula?"..

satu yang pasti ...tidak mahu ku akhiri..

atau sebenarnya adakah aku tidak mahu mengakui..
bahawa di sini Sita Dewi telah bertemu Sang Arjunanya


Friday 8 June 2012

HIDUP JANGAN DIPOLITIKKAN



Sekarang sudah tidak ada perkataan setinggan
telah digantikan dengan rumah-rumah pangsa seperti kotak-kotak besar
yang tak punya ruang untuk sebuah kehidupan yang normal
pelbagai definasi
diskriminasi hidup
atau cerita yang dimanipulasi
hanya mereka yang bernafas di situ mengetahui kewujudan kontradiksi segala khabar

Dalam kederasan kemajuan
bukan semua tangan bisa menggapai
masih ramai yang nadinya penuh fikiran, kecemasan, perasaan kekhuatiran
dan senyuman atas ehsan dan ego terpaksa dilipat dan diperosok di dalam gerobok
masih ramai sebutir nasi harganya begitu bermakna
masih ramai di kotak fikiran hanya bagaimana untuk melapik perut
kerana keperluan asas yang tiada kompromi

Mempolitikkan Agama
Mempolitikkan Bangsa
Mempolitikkan Rasuah
Mempolitikkan Undang-undang
Mempoltikkan Kebebasan
Dunia ini segalanya bisa dipolitikkan
untuk bilangan yang sedikit...bagi memperluaskan kekayaan dan kuasa yang sedia melimpah
untuk bilangan sebahagian besar..menambah kesempitan yang sudah sedia sukar


yang sederhana..
membilang hari di kalendar
masuknya sekali..
yang perlu dibayar bercabang-cabang
itulah hidup selamanya..melayan tuntutan..
subsidi tidak layak..mewah pun tidak
maka berdiri keringlah sehingga datang lagi rezeki di hujung kalendar

nasib baik kita semua punya Agama
jika tidak..penuhlah koran-koran dengan tajuk - Untuk Hidup...

Thursday 7 June 2012

RUANG KOSONG



Aku ingin tidur dengan fikiran yang kosong
 melupakan segala harapan dan menerima semua kenyataan

aku ingin bernafas dengan jiwa yang kosong
dengan hati yang sudah hilang ditelan sejarah semalam dan silam

aku ingin keinginan ku juga kosong
supaya mimpi yang semakin sepi tidak ku tangisi

aku ingin berjalan dengan tangan yang kosong
walau ia bermakna aku tidak dapat lagi memberi

ruang-ruang udara juga ku rasa semakin kosong
sudah benar-benar kosong..
kerana tiada satu pun molekul-molekul bisa ku kira untuk melepasi waktu  tanpa airmata

segala janji ..segala pesan..segala perhatian bertahun-tahun sejak dari aku belum dewasa
sebenarnya lakonan mu yang kosong..

Hairan semua melihat kau seperti sesuatu yang abadi sehingga kini walau sebenarnya kau sudah lama jauh pergi..mewujudkan ruang yang begitu besar..ruang yang lain tidak selain kosong

Selain dari Tuhan..
aku tahu kesudahannya ..tetap sama...iaitu..kosong..






Sunday 3 June 2012

MENUMPANG LALU



Sejak dari mula
hanya bisa bercita-cita mempunyai daerah sendiri
seperti sebuah kota di gunung tinggi
yang punya istana
berkubukan batu granit
dan aku sebagai permaisuri

Jangan kalian risau
aku sudah hilang bisa
tidak asri lagi
tiada taring mahupun kuku yang tajam
aku kini hanya gagak dan bukannya merak
seperti Lantana Camara yang tiada siapa sudi menghidu

pada wanita yang meragui
jangan mencebik
jangan meludah
jangan memandang jelek
jangan dipasang jerangkap
aku tidak akan masuk ke taman larangan kalian
mentari..kartika..malah candra menjadi saksi
dan guntur berbunyi mengesahkan
damai saja kalian bersama segarnya pawana
kerana aku masih melestarikan maruah diri

pada lelaki yang memandang sinis
jangan berbicara untuk menguji
jangan memandang untuk meletak harga
jangan dijadikan bahan cerita yang memualkan
jangan memandai meletak berapa harga di pasaran
walau arlogi tak pernah berpatah
aku akur hidup ini begini

aku sebenarnya
hanya menumpang lalu...........




KETERASINGAN





Jauh sungguh perjalanan ini ku rasa
kerana tiada bicara
ku benam segala suara dalam hati
semua rasa disimpan di dada
hati meronta agar cepat sampai ke destinasi
agar tak perlu rapat begini
agar tak perlu menahan diri
betapa terasingnya dua manusia yang pernah saling mempercayai 
mitologi dan sejarah hilang tak membawa kesan
dan maka sekali lagi
setiap chakra diri ini berputar di paces berbeza


Rimasnya berada di sini
bila dua jiwa tak lagi bisa 
melihat wajah satu sama lain dengan kasih dan sayang
atau duduk bersama menyulam kenangan dan waktu lalu
kehadiran bukan lagi satu yang dinantikan
dan kewujudan di sisi tak mampu lagi di rasa dari dalam
meronta..menangis..menjerit..malah Perang Baratayuda sekalipun
tiada siapa yang akan faham
malah membenci setiap yang mereka lihat
sedangkan aku sendiri jika bisa..pasti ingin hidup seperti
lukisan