Tuesday 22 March 2011

Rujukan

Tarikh keramat ini datang lagi
membuatkan ku melangkah ke satu sudut
di sana ada sebuah peti usang
setia menantiku walau sarang labah-labah sudah menyeliputi seluruh ruang

tatkala ku membuka
bergelojak jiwa
bergetar rasa
menggigil tangan
tubuh mulai longlai
satu demi satu dosa datang silih berganti di ingatan
dan ketika ku sentuh mu lagi
airmata mula bergenang

tarikh ini beberapa tahun yang lalu
aku di tanah yang begitu suci
hingga kusam helaian-helain mu
kerana waktu itu aku kerap membuka dan membaca mu
sering menunduk tanda taubat
mengunci mulut dari kata yang sia-sia
mematikan langkah ke arah yg salah
hati yang dulu bagai batu
ku pecahkan jadi butiran-butiran bercahaya

tapi kini..seluruh kehitaman menyelubungi diri kembali
bau busuk dosa bagai nanah
terkilan di mana ku letak diri selama ini

wahai isi di dalam peti usang ini
terima dan bawalah aku kembali menghampirimu
membacamu..
memahamimu..
cuba melaksanakan ayat-ayatmu
jika tidak secara keseluruhan..
jika tak mampu seperti para solehah
jika terlalu jauh dari kesempurnaan
izinkan aku memulakannya semula..
walau dari huruf pertama..

Alif...