Wednesday 16 November 2011

DARI SUARA ANAK KECIL DAN BICARA KANAK-KANAK


Wahai dunia
mari dengar aku berbicara
dari suara kecil
dari hati yang bersih
tanpa agenda tersendiri

akulah kanak-kanak dunia itu
bukan keterlaluan yang ku pinta
hanya wanginya udara
hanya bersihnya sungai
hanya birunya laut dan langit
demi kami! demi fauna! demi flora!

wahai seluruh penduduk alam
sayangilah kami
kasihanilah kami
fikirkanlah kami kanak-kanak sedunia
dan berikanlah kami janji
...bahawa esok masih ada..


ADA APA LAGI



Aku adalah insan kecil yang semakin kerdil
setelah sekian lama memerah tenaga sehingga tua
masih tak punyai apa untuk ku wasiatkan kepada keturunan
selain keperluan asas yang nilainya malu untuk ku wartakan

Aku adalah hamba yang sudah jauh mengembara melepasi usia
masih tak punya bekal jika ditarik nyawa
masih bisa tertawa atas kejahilan
dan bisu pada kemungkaran

Aku adalah bangsa yang semakin hilang daulatnya
yang semakin tipis haknya
yang semakin hilang kekebalannya
yang semakin pupus kuasanya
yang juga semakin alpa dan lupa
yang pura-pura tidak sedar bahawa asal usul sudah diludahi
yang membiarkan minda dan diri bangsa terus menjadi hamba penjajah zaman ini..
sehingga miskin di dunia dan tiada bekalan untuk akhirat


bangun! buka mata! pasang telinga!
Hijrah  segera!
kita muafakat! kita cari berkat!
hentikan menikam meracun menghina memfitnah saudara seagama dan sebangsa!
walau kita mungkin sudah terlambat..
kerana sejarah kita sudah digubah 
pembelajaran subjek Sejarah bukan lagi wajib
agama pula mereka cabar ..
ada apa lagi?!!

maka aku ingatkan juga pada diri sendiri
buat sekian kalinya..ku tampari wajah ini dan berkata ..
jika hak yang tinggal sekelumit ini juga aku gadaikan..
jika waktu yang pendek ini juga tidak ku kejar membuat amalan..
sesungguhnya aku dalam kerugian yang nyata..