Saturday 30 April 2011

Jangan kata aku tidak mencuba


Bagaimana untuk aku halang ia dari melintas di fikiran
bagaimana pula untuk ku padam kerana ia bukan tulisan tangan
seberapa payah ku cuba untuk tidak menoleh
hati tetap bergetar seperti ada gesaan dari  belakang

lalu ku pantaskan langkah mara ke hadapan
tetapi rasa itu seperti bayang yang tak pernah meninggalkan
dan apabila lelah berlari..makinlah ia menghampiri
hingga bisa ku dengar desir di telinga akan terlalu hampirnya ia

serasa waktu terhenti..
kaki lumpuh ..
tubuh kaku
tiada bunyi dunia waktu ini
jantung berdegup melangkaui ketenangan
bagai diserap jiwa kedua..
engkaukah itu di belakang?

namun dengan segala kudrat yang tersisa
dan semangat yang membara untuk satu perubahan berani mati
becampur baur dengan rindu dan kasih yang tersisa
ku gerakkan lagi langkah walau ia bererti setiap pergerakan
akan menyiat-nyiatkan kulit dan menceraikan daging dari tulang ini

ia benar..
apa yang kutinggalkan itu terlalu indah bagai dongeng Negeri Kayangan
tapi hidup ku ini bukannya mimpi
darah ku masih merah mengalir panas untuk hidup sebagai manusia
bukan mayat yang ditoreh masih tak meraung

namun sakitnya
apabila betapa marak api semangat dalam setiap titip-titip ayat ku tadi
masih ingatan bertandang..
maka sekali lagi aku bertanya ...
.......

Bagaimana untuk aku halang ia dari melintas di fikiran
bagaimana pula untuk ku padam kerana ia bukan tulisan tangan
.......

Friday 15 April 2011

Bila hati berkuasa..



Berhenti seketika dari terus melayan perasaan
kerana sampai bila pun kesepian akan tetap terasa
rindu..kecewa..terluka..kita letak sebentar di satu sudut tertutup
selagi bernafas dugaan dan cabaran pasti akan datang lagi
untuk menguji kekuatan diri dan keimanan di hati

kita sudah terlalu dewasa untuk membelai jiwa lara
rampas balik kuasa ke atas hidup kita
kita nakhoda perasaan dan perjalanan yang tak selama mana lagi
cerita hidup kita jangan hanya dibiar berkisar pada air mata


dunia ini masih terlalu luas untuk kita tongkah
masih banyak ilmu terbiar

mati kah kita tanpa mereka
sedangkan kasih sayang yang melimpah dari Tuhan dan alam..
kita diamkan....kita sepikan....kita tidak nilaikan

jangan biasakan diri lari dari masalah yang sebenarnya kita boleh noktahkan
jangan hanya menerima arus ganas mereka menghanyutkan terus diri kita
jangan dibiarkan diari hanya penuh tentang semalam dan hari ini yang mengecewakan

kita sudah bertahun-tahun menggunakan ayat yang sama;
..kau tak rasa..
..kau tak berada pada kedudukan aku..
..aku dah cuba..
..kau pandai berkata-kata sahaja..
..hati aku tidak boleh aku ajari sewenangnya..
..aku setia..

aku paham itu benar
tapi marilah kita pandang dari sudut yang berbeza
kita buka ruang yang dulu kita tutup
kita lalui jalan yang baru
kita ubah topik bicara
kita utuhkan jati diri
kita ciptakan cita-cita

kita tak perlu menghilangkan atau merubah siapa diri kita yang sebenar untuk itu semua
kerana kita tetap kita
cuma kita kini berbeza
tanpa cuba melupakan
atau memadam api yang membara
kita masih boleh mengembara dengan jaya selagi kita yakin dan berpegang pada agama

apa yang ku pinta
hanya kita teruskan hidup ini dengan mengubah tangisan kepada senyuman
cuba kita tinggalkan sebentar dunia misteri itu
pasti rindu..
tetapi kita bukan membuangnya
kita hanya mengaburkannya dari terus menjadi perkara yang utama

seperti pada puisi-puisi ku yang dahulu
ku peringatkan sekali lagi
kau dan aku sama
kita seiring sejak umur kita belasan tahun lagi
tapi pada saat kau gagal kuasai hati..aku akan berdiri memegang tangan mu
dan pada saat aku sesat lagi..tolong tarik tangan ku..
dan pasti pada satu-satu masa..kita masih boleh meluahkan lagi
tentang resah dan duka lara..
kerana kita belum mati..

menjadi sebegini bukan kehidupan yang dipinta
dan selagi  mencuba..
kesalahan tidak seharusnya hanya diletak pada bahu kita
hai dunia sekeliling..
mungkin kalian juga harus cermin diri sebelum menunding pada kami

teman..jangan menangis lagi..
kita mungkin tak sebertuah mereka
tapi mungkin dengan sedikit usaha lagi
kita akan memiliki

walau kebanyakan waktu.. kita lebih kepada pencari yang sering buntu..

Sunday 10 April 2011

Cerita ku..Kampung Parit Serong

Aku sudah lupa sudah berapa banyak kali aku berpindah
mengikut Baba dalam tugasannya
Mama akur dan patuh sahaja
namun aku yang paling gembira
punya teman baru..rumah baru..
setiap persinggahan berbeza

namun ada satu kampung terpencil
yang tidak akan terpisah dari hati ini
bersama Pak Haji Shamsudin
ke sawah mengail ikan sepat dan puyu
ke parit mengaut ikan laga dan berudu
ke kebun mengutip cili dan pucuk paku
memanjat pokok pelam dan pokok jambu
memetik buah kopi dan buah koko
membuat minyak kelapa
membuat layang-layang yang tak pernah terbang
meniup buih sabun dari batang daun betik
aku terlalu obses dengan penduduk-penduduk di kampung ini
hingga aku lupa bahasa Minang ku
kerana di sini aku belajar dan hanya menggunakan bahasa Jawa mereka

pada satu-satu purnama
akan ada tayangan filem di kain layar putih
dipasang di tengah padang sekolah
maka penuh lah kawasan rumah kuarters guru kami
orang berjualan digerai-gerai kecil beratap nipah
dipertontonkan juga tarian kuda kepang yang berjampi serapah
silat Melayu tak dilupa
anak-anak muda mula berpandangan
namun aku tak faham makna kerlingan mereka
aku hanya anak kecil yang berlari riang bersama kawan sepermainan

pada setiap malam
melalui lorong kecil gelap tiada cahaya lampu
hanya mengguna obor dari daun kelapa kering
ke rumah Ustaz Nan untuk belajar solat dan membaca Al-Quran
mengambil air sembahyang mengguna air kolam yang tak bertangga
hanya sebatang kayu menjadi pegangan
sementara menunggu azan
sempat bersantap kuih-muih lebihan jualan penduduk yang disedekahkan ke rumah ini untuk anak-anak murid yang belajar mengaji..
semoga mereka dimurahkan rezeki..

dan bila baba perpindah lagi ke bandar
aku menangis tanpa henti
walau dipujuk..

bagaimana harus aku melupakan
pada kampung terindah ini
penduduk yang ramah dan terlalu baik hati
segala pelajaran menjadi manusia banyak bermula di sini

kini
aku telah dewasa
dan aku tak pernak lupa setiap Syawal untuk menziarah
bangga kemodenan bertapak
tapi aku lebih rindu pada zaman mengutip pucuk paku..
terima kasih Parit Serong
kerana kau menjadikan zaman kanak-kanak ku begitu tinggi nilai kemanusiaan dan kehidupannya..
..dan aku rindu lagi..

Rasa yang terpendam

sukarkan menjadi dewasa
lebih sulit apabila situasi tidak mengizinkan untuk bebas berbicara
langkah tidak boleh sebarangan
perlakuan juga harus berhemah
malah segalanya harus rasional
kekadang terfikir hidup ini untuk siapa
berapa lama harus memegang watak
yang hanya penonton gemar dan yang hanya boleh diterima akal mereka


segala rasa dan kemahuan disimpan kemas
segala keinginan dipendam sedalam-dalamnya
kekadang bila sudah terlalu penuh dan jerih menahan
maka ia menimbulkan rasa yang amat menyakitkan..menyenakkan..
kewarasan jadi tipis
tapi kita masih menutup luka dari dunia

di mana sebenarnya kita meletak nilai diri
bila sanggup melupakan hak sendiri
membatas dan memagar hakiki
dalaman  hancur
asal yang sebenar tidak bolos pada mata mereka
menahan suara hingga pecah dada

tapi kita kan begini
masih juga begini...
sehingga mati kita mungkin juga masih begini..

Saturday 9 April 2011

Dalam gelap hati berbicara

Duhai malam..
kau sering membawa ku hanyut dalam lamunan
tenggelam bersama perasaan 
sebati dengan kesunyian
leka mencipta angan-angan 
membariskan jua apa yang seterusnya ingin digapai


waktu malam jua
kekadang aku tertawa sendiri 
..apabila membelek helaian kenangan 
bercampur baur kekecewaan mengenang
..kegagalan dan langkah yang tak kesampaian
dan mencongak sudah berapa mimpi menjadi kenyataan
dan cita-cita yang sudah digenggaman


semuanya mencipta aku yang kini


seperti malam-malam yang lepas
aku mula memikirkan lagi
tentang semalam, hari ini dan esok
tentang yang sudah terlambat..
tentang yang masih boleh diubah..
tentang yang akan diusahakan


satu yang pasti pada malam ini
aku yakin kecuali dengan kehendak Tuhan ..
esok akan ada mentari..







Saturday 2 April 2011

Satu perjalanan baru

Alhamdulillah dari ku untuk mu
pada waktu tecebis sisa kekuatan
pada waktu persoalan berpusingan
pada waktu alam terlalu bingit
atau kekadang hampir tiada decit
pada waktu kaki kaku untuk ke kiri atau ke kanan
hadir panggilan dari bumi para Ambiya

jangan dikait parut semalam
iman adalah mutiara di hati manusia
hanya Dia yang mengetahui
atau mungkin saja sebenarnya tidak wujud apa yang kau rasa tentang
..keterlanjuran di perjalanan
..fikiran hitam
..langkah yang tersimpang
..bicara beracun
atau
..tanggung-jawab yang tidak terlaksana
ini bukan waktunya lagi untuk kisah semalam..

pergilah..
di sana kan kau temui apa yang kau cari
hajati apa yang kau impi
beristirja' lah tanpa henti
bermohon sambil menginsafi

ah! terlalu banyak tak mampu ku titip setiap bait di sini
juga terlalu indah tak mungkin ku lukiskan
terlalu tenang tiada tandingan di semesta alam
terlalu merdu bacaan dan seruan tak seperti gurindam dunia

rasai...
serapi ..
hidu lah..

akan getaran dan gelombang suci
dan bawalah segalanya pulang
untuk amalan sepanjang zaman
dan jangan kau lupa
..........ajari aku........................